KAMPUNG TENGKAWANG - Seorang pemandu van bukan sahaja menahan kesakitan
 akibat tersepit di tempat duduk pemandu, tetapi dia juga terpaksa 
menahan ‘kehangatan’ cili giling hampir satu jam setelah kenderaan 
dipandunya terlibat dalam kemalangan, di sini, pagi semalam.
Bagaimanapun, azab dihadapi Abd Rahman Ibrahim yang terlibat dalam 
kemalangan kira-kira jam 9.45 pagi di hadapan Sekolah Kebangsaan 
Tengkawang itu berakhir apabila dia berjaya dikeluarkan anggota bomba 
dan penyelamat dari Balai Kuala Berang.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku apabila van berisi muatan cili 
giling dipandu mangsa daripada arah Kuala Berang ke Sungai Tong itu 
merempuh sebuah lori tiga tan yang ketika itu ingin membelok ke kanan 
memasuki sebuah lorong.
Rempuhan menyebabkan mangsa tersepit susulan van itu remuk teruk 
dibahagian hadapan, selain puluhan bungkusan cili giling pecah serta 
bertaburan atas jalan raya sebelum mangsa berjaya dikeluarkan.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, PBK II Mohd
 Pitter Tengah berkata, menaiki sebuah jentera dengan enam anggota, 
pihaknya bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat kejadian jam 9.50 
pagi.
"Ketika sampai, mangsa didapati tersepit di tempat duduk pemandu selain kedua-dua kakinya juga tersepit.
"Operasi mengeluarkan mangsa daripada kenderaan mengambil masa 25 
minit," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian yang turut menarik 
perhatian orang ramai termasuk pengguna jalan raya serta komuniti 
setempat.
Tinjauan mendapati, puluhan cili giling pecah bertaburan atas jalan 
raya dan di bahagian hadapan van dinaiki mangsa, namun lalu lintas 
lancar dengan bantuan anggota trafik dari IPD Hulu Terengganu walaupun 
laluan menghala ke Sungai Tong ditutup sementara.

No comments:
Post a Comment